Sunday, September 14, 2008

T. Collin: Penghayatan Ilmu Linguistik melalui Pemetaan Dialek Melayu Sealam Melayu.


Penghayatan Ilmu Linguistik melalui Pemetaan Dialek Melayu Sealam Melayu. ISBN 978-967-942-831-5 (kl). 78 hlm. RM20.00. James T. Collins.

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya lima puluh tahun lalu, penyelidikan linguistik Malaysia telah mencatat banyak kemajuan. Sistem kolonial tidak mewarisi tradisi penyelidikan linguistik yang bererti tentang bahasa di Malaysia. Tetapi, sejak merdeka, warga Malaysia sendiri, walau terpaksa mulai membina dan menghasilkan struktur pengetahuan linguistik yang kompleks tentang Malaysia dan bahasanya – suatu sumber ilmu yang dapat dirujuk dan dihayati. Masih terdapat beberapa jurang dalam pengetahuan kita, tetapi jurang-jurang itu dapat diisi kelak kerana Malaysia sudah memberikan sokongan yang kukuh kepada ilmu linguistik dan penyelidikan bahasa. Salah satu bidang penyelidikan linguistik yang beranjak pada permulaan yang teguh adalah pemetaan bahasa dan dialek di Malaysia dan di Alam Melayu. Prof. Dr. Asmah Haji Omar ialah ahli linguistik Malaysia pertama yang berusaha mendeskripsikan dialek Melayu dan menyusun peta awal tentang persebaran geografi dialek itu. Peta asasi ini yang dicetak tiga puluh tahun lalu dengan data dan analisis sokongannya, tetap berperanan sebagai sumber informasi utama tentang dialek Melayu di Malaysia. Walaupun kemudiannya pernah diterbitkan peta dialek lain tentang kawasan tertentu di Malaysia, masih belum ada peta selain keupayaan Asmah yang bersifat komprehensif dan lengkap dengan analisis dan data tentang persebaran dialek Melayu di Malaysia. Maksudnya, kajian yang melanjutkan usaha perintis Asmah masih terbatas. Tambahan lagi, maklumat tentang dialek Melayu di rantau dan pelosok lain di Alam Melayu, malahan kalau ada pun kurang meyakinkan. Pakar kartografi dan ahli linguistik di Eropah, Amerika dan Australia terpaksa bersandar pada catatan dan prasangka abad yang kesembilan belas untuk menyusun peta bahasa di Alam Melayu. Justeru kerana kekurangan maklumat tersebut kepelbagaian dan ketersebaran dialek Melayu di Alam Melayu tidak digambarkan dengan tepat dalam teks dan atlas yang piawai tentang Asia Tenggara dan wilayah Pasifik. Telah sampai waktunya untuk menyambut cabaran yang tersirat dalam sumbangan perintis Asmah. Melalui penyelidikan yang dijalankan terutamanya oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), kini kita mengetahui lebih banyak tentang dialek Melayu di pelbagai kawasan Asia Tenggara. Sekarang kita harus menyatukan hasil kajian lapangan linguistik yang terperinci itu dengan teknologi moden, termasuk penggunaan peta yang diakses dari imej satelit serta pemanfaatan alat GPS (Global Positioning System). Selain itu, sepatutnya kajian lapangan tambahan dijalankan di wilayah-wilayah yang selama ini kurang diselidiki seperti Borneo, Maluku dan Papua. Walau bagaimanapun kemajuan dalam penghasilan peta pemaparan harus diimbangi dengan kemajuan dalam pemetaan tafsiran supaya peranan dan penyebaran bahasa Melayu di Asia Tenggara, bahkan kawasan yang lebih jauh pun dapat ditanggapi oleh komuniti sarjana global. Sikap yang negatif atau sekurang-kurangnya sikap tak peduli tentang bahasa Melayu yang agak luas terkesan di kalangan ahli linguistik Melayu-Polinesia pun hanya akan berubah kalau data yang meyakinkan ditafsirkan dan diedarkan untuk pembaca dunia sejagat.


Published by:

Penerbit UKM

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600, Bangi, Selangor,

Malaysia

Fax no. 03-89254575

No comments: